Wednesday, September 21, 2011

Faktor Suhu dan Kelembapan

Fuh!... bukan mudah untuk menghasilkan keadaan dalaman rumah burung walit yang sesuai dengan habitat alami walit. Suhu dan kelembapan merupakan faktor-faktor yang sangat penting dan amat perlu diteliti. Boleh dikatakan ia merupakan antara faktor utama yang mampu menentukan kejayaan sesebuah rumah burung walit.

Perjalanan dan pengalaman bumah burung walit al-barokah dalam usaha menjadikan keadaan dalamannya stabil dan menepati habitat alami sebenar burung walit amat panjang dan penuh liku. Berbagai cara cuba dilakukan, ada yang menghasilkan kesan yang positif dan tidak kurang juga yang memberikan kesan yang semakin buruk. Sedikit perkongsian berdasarkan pengalaman pengusaha sendiri dalam menghadapi beberapa masalah suhu dan kelembapan yg dihadapi oleh RBW al-barokah ini.

1. Suhu yang tinggi sehingga mencecah 32*C.
Diatasi dengan cara mengecat dinding luar menggunakan cat tahan cuaca berwarna putih, menggunakan kipas di ruang dalam yang dihidupkan oleh suiz peka haba, menempatkan kolam-kolam kecil/besen rapat ke dinding yang terkena cahaya paling banyak dan menggunakan blower untuk menyedut udara panas dari dalam ke luar.

2. Kelembapan yang agak rendah.
Diatasi dengan menempatkan beberapa kolam/besen di dalam RBW mengikut keperluan dan lokasi yang tertentu, menggunakan kipas yang dihalakan ke permukaan air kolam, menggunakan humidifier yang dihidupkan oleh alat pemasa.

Setelah dilakukan beberapa pengubahsuaian demikian, kesan yang positif dapat dilihat berdasarkan data yang dihasilkan oleh hygrometer yang menunjukkan bacaan suhu tertinggi adalah 29.2*C dan kelembapan terendah adalah 78%. Namun terdapat juga beberapa masalah lain yang terjadi.

Beberapa masalah yang dapat dikesan adalah;
1. Suhu terendah yang agak rendah iaitu 25.6*C dan kelembapan yang agak tinggi iaitu melebihi 95% yang kedua-duanya berlaku sekitar jam 3-7 pagi.

2. Kesan kebocoran paip air yang disambung ke mesin humidifier menyebabkan lantai tingkat atas basah dan mengakibatkan papan sarang tingkat bawah lembab dan berkulat.

Itulah antara kesan negatif yang terjadi. Semoga semua masalah dapat diatasi dan dipermudahkan.